Tuesday, October 9, 2012

Hospital Pengajar UniSZA Dijangka Siap 2015 - Khaled Nordin

KUALA TERENGGANU: Hospital pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berharga RM150 juta dijangka siap pada 2015, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata dengan adanya hospital itu akan membolehkan Unisza menawar program peringkat pasca siswazah seterusnya melahirkan lebih ramai pakar perubatan di negara ini.

"Pada masa ini Unisza mempunyai Fakulti Perubatan dan kerajaan telah bersetuju membina hospital yang boleh memuatkan 100 katil di kampus Unisza Gong Badak. "Pembinaan akan bermula selepas selesai proses (tawaran) tender yang dijangka tamat pertengahan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisza di sini, Isnin.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza, Datuk Zolkipli Abdul dan Naib Canselor Unisza, Datuk Profesor Dr Alias Daud.

Unisza bakal menjadi universiti kelima di negara ini memiliki hospital sendiri selain Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Gambar Hiasan

Mohamed Khaled berkata pembinaan hospital itu akan dapat memantapkan lagi peranan fakulti perubatan di Unisza untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit.

Mengulas mengenai keperluan pembinaan hospital pengajar di setiap universiti yang mempunyai fakulti perubatan di negara ini, beliau berkata ia bergantung kepada kemampuan kerajaan.

"Kementerian akan mengemukakan permohonan (untuk membinanya) secara berperingkat. Namun (kos pembinaan) hospital ini bukannya murah, ia mahal dan ia bergantung kepada kemampuan kerajaan.

"Kerajaan sudah bersetuju membina sebuah hospital pengajar khas untuk kanak-kanak di UKM dan selain itu kerajaan juga sudah membina hospital veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.

Antara universiti yang mempunyai fakulti perubatan tetapi masih belum mempunyai hospital pengajar ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Universiti Malaysia Sabah (Unimas) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). -BERNAMA

No comments:

Post a Comment